Monday, May 7, 2018

Kajian automotif Bosch: Hanya satu peratus pemandu wanita tahu menyelesaikan masalah tanpa bantuan. Wanita lebih cenderung meminta pertolongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan apabila kereta mereka rosak.

Petaling Jaya, Malaysia – Satu kajian oleh Bosch Automotive Aftermarket mendedahkan hanya satu peratus wanita mampu menyelesaikan masalah berkaitan kenderaan mereka sekiranya berlaku kerosakan berbanding kaum lelaki sebanyak 48 peratus. Kaji selidik yang dijalankan oleh Bosch – pembekal utama komponen gantian automotif itu melibatkan seramai 350 pemandu negara ini berusia 18 hingga 55 tahun bertujuan mendapatkan input mengenai tabiat pengurusan bateri kereta yang merupakan salah satu penyebab utama kenderaan rosak.

“Kajian kami menunjukkan bahawa 70 peratus daripada kerosakan kenderaan berpunca daripada masalah bateri. Masalah tersebut bukan sahaja menimbulkan kesulitan malah mampu mendatangkan risiko keselamatan kepada semua pemandu terutama kaum wanita sekiranya mereka terkandas bersendirian” kata Encik Pang Yoon Kong, Pengurus Bosch Automotive Aftermarket Malaysia.

Kaji selidik itu juga mendapati 84 peratus wanita akan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan manakala 12 peratus dalam kalangan mereka akan menghubungi syarikat penyedia bantuan kerosakan kenderaan sekiranya kereta rosak akibat kegagalan bateri.

“Menurut kaji selidik itu, sejumlah besar wanita masih tidak mengetahui bagaimana untuk mengatasi masalah kereta rosak akibat kerosakan pada bateri kenderaan. Di Bosch, kami berhasrat untuk memperkasakan pemandu terutamanya wanita untuk memiliki pengetahuan mengenai kenderaan dan boleh mengenal pasti tanda-tanda awal kerosakan pada bateri kerana 70 peratus daripada kerosakan kenderaan berpunca daripada masalah bateri,” kata Pang

Lima tanda bateri kereta rosak: 

* Aci engkol perlahan 
Bunyi aci engkol pada enjin  lembap dan ambil masa lama untuk dihidupkan

* Lampu amaran papan pemuka
Apabila kuasa bateri lemah, lampu amaran pada papan pemuka muncul

* Perlu bantu mula (jump start) bateri
Gantikan sekiranya bateri kenderaan telah dibantu mula melebihi tiga kali dalam tempoh seminggu

* Bekas bateri bengkak
Bateri kereta yang terdedah kepada jumlah haba berlebihan mungkin membengkak dan boleh menyebabkan jangka hayat bateri lebih pendek

* Bau seperti telur busuk
Bateri kereta mengandungi asid sulfurik, ia akan mengeluarkan bau seperti telur busuk sekiranya berlaku lintar pintas, beku atau terlebih cas. Pastikan bateri diperiksa secepat mungkin kerana berkemungkinan berlaku kebocoran asid sulfuric yang boleh merosakan bahagian kenderaan yang lain

Kaji selidik itu juga mendedahkan sejumlah 29 peratus pemandu wanita berbanding 22.6 peratus pemandu lelaki masih menggunakan bateri asid plumbum (bateri sel basah) berbanding bateri bebas penyelenggaraan (bateri sel kering).

“Lebih ramai pemandu kini memilih untuk menggunakan bateri sel kering berbanding bateri sel basah yang memerlukan penyelenggaraan. Bateri sel kering memiliki kelebihan kerana mampu memberikan lebih kuasa, mengecas lebih pantas dan mampu tahan lebih lama. Pemandu dapat menikmati pengalaman memandu tanpa tekanan tanpa perlu bimbang mengenai air bateri” tambah Pang

Bateri Bosch boleh didapati di semua pengedar sah di seluruh negara:

http://startwithbosch.com/my

The Truth Is Within You . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates